Ghobro » info

Puteri Di Dalam Betung

Dimuat
Komentar Tak-satupun

Alkisah, peri mengatakan ceritera raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai;maka ada diceritakan oleh orang yang empunya cerita ini. Negeri yang di bawa angin ini Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasululullah.

Raja dua bersaudara membuat negeri di Semerlanga

Maka ada raja dua bersaudara saorang namanya Raja Ahmad dan saorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu akan membuat negeri di Semerlanga. Maka Raja Muhammad itu pergilah ia dengan segala rakyatnya menebas rimba itu; maka ada di tengah rimba itu serumpun betung terlalu amat tebalnya betung itu. Maka ditebas oleh segala rakyat itu tiada habis ditebasnya, habis-habis tumbuh pula. Maka berangkat raja sendiri menebas betung itu, maka habislah betung itu.

Puteri dari Betung

Maka dilihat oleh Raja Muhammad pada sama tengah betung itu ada rebongnya seperti badan besarnya; maka hendak diparang oleh Raja Muhammad betung itu, maka keluar seorang kanak-kanak perempuan terlalu sekali baik parasnya; maka dibuangkannyalah gedungnya, maka lalu segera diambilnya kanak-kanak itu didukungnya lalu dibawanya kembali ke rumahnya.

Serta dilihat oleh istri baginda Raja Muhammad mendukung kanak-kanak itu, maka segeralah didapatkan oleh isteri baginda lalu disambutnya. Maka duduklah baginda kedua laki isteri itu. Maka dilihat oleh isteri baginda budak-budak perempuan; maka terlalu suka cita baginda laki isteri itu.

Maka baginda pun berkhabarlah kepada adinda itu daripada pertamanya datang kepada kesudahannya peri baginda mendapat kanak-kanak di dalam rebung betung. Maka dinamai oleh baginda Puteri Betung. Maka dipeliharakan baginda seperti anak segala raja-raja dengan inang pengasuhnya serta dengan dayang-dayangnya lengkap dengan pakaiannya. Maka terlalu kasih baginda akan anakanda baginda itu, makin sehari, makin besar dan rupanya pun makin menjelas.

Maka terdengarlah khabar-khabar itu kepada kakanda baginda Raja Ahmad akan adinda itu beroleh mendapat kanak-kanak di dalam rebung betung itu. Maka baginda pun berangkatlah dua laki isteri pergi melihat kanak-kanak yang didapat oleh adinda itu.

Setelah baginda sampai lalu masuk ke dalam rumah adinda itu. Maka adinda pun memberi hormat akan kakanda itu bepersilakan duduk. Maka baginda pun duduklah dua laki isteri dan adinda pun duduklah mengadap dua laki isteri. Maka sirih pada jorong emas pun dipersembahkan oranglah kepada kakanda baginda.

Setelah itu, maka sabda baginda “Hai, adinda Raja Muhammad, manatah anak tuan itu, kakanda hendak melihat.”

Maka kata Raja Muhammad, “Hai inang pengasuh bawalah anakku itu ke mari.”

Maka segeralah dibawanya ke hadapan Raja Ahmad, maka baginda melihat terlalu suka cita lagi dengan parasnya. Maka sabda baginda laki isteri pun bermohonlah kepada adinda laki isteri itu lalu kembali.

Negeri Semerlanga selesai

Setelah sudah negeri itu diperusaha oleh rakyat dengan kota paritnya serta dengan istana balairungnya. Maka baginda pun duduklah dalam negeri itu bersuka-sukaan makan minum menjamu segala menteri dan hulubalang rakyat sekalian.

=======================

Bagaimana selanjutnya?

Daftar Isi Hikayat Raja-Raja Pasai

Penulis
Kategori Hikayat, Sejarah

←LamaBaru →